Para Sukma: Jacklon, Nur Feiqha atlet terbaik 

Oleh Staff Writer 29 November 2018 87
 Para Sukma: Jacklon, Nur Feiqha atlet terbaik 
Jacklon Ganding dan Nur Feiqha Maulad Mohd Halil masing-masing diumumkan sebagai Atlet Lelaki dan Wanita Terbaik Para Sukma 2018 Perak yang melabuhkan tirainya malam tadi. 

Mewakili Sabah, Jacklon yang beraksi dalam acara olahraga, sememangnya menjadi taruhan bagi pemburuan pingat dalam Para Sukma kali ini.

Tiga acara yang disertainya, iaitu 100 meter, 200m dan lompat jauh kategori T37 tidak mengecewakan dengan dia meraih pingat emas.

Selain itu, dia turut memecahkan rekod kejohanan dalam kesemua acara berkenaan dan menjadi antara taruhan terbaik untuk menggalas cabaran negara dalam Kejohanan Dunia 2019 serta cuba melayakkan diri ke temasya Paralimpik Tokyo 2020.

"Pada mulanya, saya menyasarkan catatan 12.48 saat tetapi akhirnya berjaya melakukan catatan lebih baik, 12.39s, untuk memecah rekod kebangsaan. 

"Saya ingin berterima kasih kepada keluarga, jurulatih dan rakan-rakan," ujar Jacklon. 

Sementara itu, anugerah atlet wanita terbaik milik Nur Feiqha yang mewakili Negeri Sembilan.

Kali terakhir beraksi dalam Sukan Paralimpiad 2012 di Pahang, dia kembali ke saingan Para Sukma edisi ini dan tidak menghampakan.

Hasilnya, Nur Feiqha merangkul empat emas menerusi acara individu standard dan rapid di samping acara berpasukan dalam kedua-dua saingan berkenaan bagi kategori penglihatan B2-B3.

"Mungkin saya pernah memenangi pingat emas tetapi untuk bergelar Olahragawati, ini yang pertama buat saya. 

"Sebenarnya saya masih berasa terkejut," kata Nur Feiqha.

Kontinjen Sarawak pula mengekalkan dominasi apabila muncul  juara keseluruhan dengan mengumpul 61 emas, 62 perak dan 40 gangsa untuk membawa pulang Piala Jaguh Negeri serta Piala Semangat Paralimpik.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen