Kekecewaan dalam Sukan Para Asia Indonesia, Oktober lalu, memberi pengajaran berguna buat atlet olahraga para negara, Afiq Ali Hanafiah, dalam menghadapi Sukan Para Sukma 2018 di Perak.

Afiq merupakan sandaran kontinjen negara untuk meraih pingat emas ketika di Jakarta berdasarkan catatan masa peribadi terbaik yang dilakukannya dalam acara 100 meter T12, iaitu 11.20 saat.

Bagaimanapun, dia dihampakan dengan kesilapan ketika bermula dan penyertaannya dibatalkan.

Dalam acara 200 meter pula, dia sekadar tamat dalam pusingan kelayakan.

Dia kini mahu tampil dengan lebih baik dalam saingan Para Sukma dengan membawa cabaran kontinjen Johor.

Pencapaian terbaiknya dalam temasya itu ialah pada edisi dua tahun lalu di Sarawak di mana dia meraih dua pingat emas dan satu perak.

"Saya akan cuba mengawal diri supaya tidak terlalu yakin dan gugup.

"Saya tidak mahu menghiraukan apa yang pihak lain katakan dan hanya mahu fokus memburu pingat emas," katanya.

Saingan kali ini menyaksikan Afiq bakal menyertai tiga acara, iaitu 100 meter, 200 meter dan 400 meter.

Tiada tekanan tinggi buatnya dalam menghadapi temasya kali ini walaupun membawa reputasi sebagai atlet kebangsaan.

"Saya perlu mengekalkan prestasi memandangkan banyak acara penting yang akan saya hadapi tahun depan," tambahnya.