Keputusan ujian sampel B badang negara, Hafifi Mansor, dijangka diketahui Khamis ini dengan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berharap keajaiban berlaku walaupun peluangnya cuma 0.01 peratus.

Keputusan ujian sampel B mengambil masa dua hari untuk diketahui dan Hafifi kini berada di Sydney, Australia, untuk menyaksikan ujian itu dengan keputusan dijangka diumumkan dua hari lagi.

Dia dikesan positif oxymetholone, sejenis ejen steroid, ketika menyertai Terbuka Australia, Mac lalu.

"Berdasarkan pengalaman kes sebelum ini, keputusan itu boleh diketahui dalam jangka masa dua hari.

"Cuma saya tidak pasti sama ada ia akan dihantar terus kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) atau kepada kepada PABM," ujar Pemangku Setiausaha Kehormat PABM, Abu Hanapah Ismail.

Bekas pemain badminton negara, Sairul Amar Ayob, pernah terlepas daripada hukuman pada 2006 apabila ujian sampel B miliknya didapati negatif.

Jika Hafifi gagal ujian sampel B, maka dia perlu berdepan Jawatankuasa Siasatan PABM untuk dijatuhkan hukuman.

"Kebetulan pada bulan ini, kami akan mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa dan saya akan memohon PABM untuk membuat siasatan terhadap kes ini," kata Abu Hanapah.

Berdasarkan kod Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), atlet berdepan penggantungan maksimum empat tahun untuk kesalahan membabitkan bahan jenis steroid.