Walaupun Sukan Olimpik Tokyo hanya akan berlangsung empat tahun lagi, pasukan memanah negara mengambil pendekatan proaktif dalam mempersiapkan diri dengan berlatih dalam keadaan cuaca sejuk di Korea Selatan bermula 19 November ini.

Ia bukan kali pertama anak buah Lee Jae Hyung berkelana ke Korea Selatan untuk menjalani sesi latihan.

Kali terakhir mereka menimba ilmu di sana adalah pada Jun lalu sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Rio 2016.

Pemanah negara, Muhammad Akmal Nor Hasrin, menegaskan variasi latihan ini disediakan agar pemanah negara bersedia bertanding ketika cuaca musim sejuk.

“Berlatih di Korea Selatan ini dapat membiasakan pemanah negara dengan cuaca sejuk,” katanya.

Selain Akmal, tiga lagi pemanah elit negara, Khairul Annuar Muhammad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Ikram Joni, akan turut menjalani latihan yang bakal bermula 19 November sehingga 17 Disember depan.

Selain menjalani latihan intensif, skuad negara akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan.

“Ini merupakan kali pertama berlatih di tempat sejuk dan ia akan memberikan satu pengalaman yang baru bagi menghadapi kejohanan tahun hadapan,” kata Ikram.

Skuad memanah negara kini dalam persiapan awal untuk ke Sukan Olimpik empat tahun lagi di Jepun, di mana ia merupakan kali kedua Tokyo menjadi tuan rumah temasya itu selepas 1964.