Penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke tahun depan membuka ruang buat jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, untuk mencetak sejarah.

Walaupun akan berusia 34 tahun ketika itu, dia dijangka mampu untuk layak secara merit seperti edisi 2008 di Beijing.

Sebelum ini, atlet berusia 32 tahun itu hampir mengulangi kejayaan layak secara merit ke temasya berkenaan apabila mencatat lompatan 2.29 meter, kurang 0.01m daripada ketinggian yang ditetapkan.

Bagaimanapun, misi untuk terus mencari peluang layak secara merit terpaksa dihentikan apabila penularan wabak koronavirus baru (Covid-19) di seluruh dunia dengan semua kejohanan antarabangsa yang menawarkan slot kelayakan Sukan Olimpik dibatalkan.

Begitupun, penundaan temasya itu ke 2021 kini mengembalikan keyakinan atlet kelahiran Selangor berkenaan bahawa masih mempunyai peluang untuk layak secara merit.

"Saya yakin boleh ke Sukan Olimpik secara merit.

"Saya rasa tiada masalah kerana masih ada masa cuma ketika ini berdepan kekangan untuk berlatih.

"Saya akan mempunyai masa untuk memperbaiki kekuatan dan teknik," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

Sukan Olimpik Beijing menyaksikan paling ramai penyertaan atlet olahraga negara menerusi Hup Wei, Yuen Yu Fang dan Roslinda Samsu sementara dalam edisi London dan Rio, dua atlat olahraga mewakili acara masing-masing.