Ketika mengharapkan permulaan yang baik buat musim 2020, sebaliknya terjadi kepada atlet heptatlon negara, Nor Liyana Kamaruddin.

Nasibnya bagai sudah jatuh ditimpa tangga berikutan Kejohanan Tertutup di Iran disusuli Kejohanan Tertutup Asia di China terpaksa dilupakan ekoran wabak koronavirus yang sedang menular.

Justeru, hanya Kejohanan Olahraga All Comers Perak, 22 dan 23 Februari ini, menjadi taruhan Liyana untuk memperbaiki kutipan matanya.

"Saya sedikit terkilan kerana sebaik tamat Sukan SEA, saya memang fokus kepada dua kejohanan di Iran dan China.

"Malah, saya tidak berehat atau melalui proses pemulihan kerana tekad teruskan latihan," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Dalam pada itu, Liyana masih tertunggu-tunggu keputusan daripada pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai pelantikan jurulatih tetap buat sukan berkenaan.

Buat masa ini, program latihannya masih berjalan seperti biasa di bawah kendalian jurulatih berbeza atas inisiatif pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 itu sendiri.

"Sehingga sekarang, saya masih menantikan jurulatih yang akan dilantik.

"Tetapi dalam masa yang sama, saya tetap meneruskan latihan dengan mengambil khidmat beberapa jurulatih."



Editor: Shaiful Shamsudin