Harapan pesilat negara, Muhammad Robial Sobri, untuk mengatasi pesilat dari Singapura, Muhammad Nur Alfian, gagal direalisasikan untuk ke separuh akhir kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-17 di Bali.

Robial tewas dengan keputusan 5-0 dalam pusingan suku akhir Kelas 'H' Putera.

Dia yang membuat penampilan kedua dalam kejohanan di pentas dunia itu ternyata kecewa kerana harapan untuk meraih pingat emas buat kali pertama bagi edisi ini dinafikan pesilat terbaik Singapura itu.

Meskipun bermula dengan cemerlang pada awal perlawanan, ketangkasan Nur Alfian selaku pemenang pingat emas Sukan SEa 2015 itu ternyata tidak dapat diatasi oleh Robial.

Bagaimanapun, Nur Alfian tetap menganggap aksi pertamanya dengan pesilat Malaysia itu cukup sengit sebelum dia bangkit untuk memenangi perlawanan ke separuh akhir.

"Sepatutnya saya boleh menang dalam pertarungan tadi, tapi ada sedikit kesilapan dari segi taktikal.

"Saya pun tak tahu nak cakap macam mana lagi," ujar Robial.

"Robial pesilat yang bagus. Semasa pusingan pertama dan kedua, dia berjaya mendahului.

"Namun, pada psuingan ketiga saya dapat mengatasi semula kegagalan. Alhamdulillah, saya dapat memenangi pertarungan tadi," kata Nur Alfian pula.