Setiausaha Kehormat Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Adam Tee, berkata pihaknya membelanjakan lebih RM100,000 untuk meningkatkan tahap keselamatan Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang dan venue itu dijangka beroperasi semula hujung bulan ini.

Penembak tidak boleh membawa keluar senjata mereka sewenang-wenangnya selepas ini.

Itu peraturan utama Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang selepas menjalani proses menaik taraf tahap keselamatan.

Pihak Polis Diraja Malaysia berpuas hati dengan usaha dilakukan NSAM dan venue itu dijangka beroperasi semula dalam tempoh tiga minggu lagi.

Ini bermakna kejohanan kebangsaan yang dijadual bermula Selasa depan juga terpaksa dibatalkan.

"Kami telah meningkatkan sistem kawalan tempat menyimpan senjata dalam lapang sasar ini. Kami berharap sebarang masalah tidak berlaku lagi dan kami boleh membuka semula venue pada bulan ini," kata Adam.

Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang penting sebagai venue latihan dan Kejohanan Menembak Kebangsaan menjelang kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, bermula tahun depan.