Bagi memastikan pemain-pemain muda terus diberikan pendedahan, Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) bakal melaksanakan lebih banyak kejohanan di seluruh negara tahun depan.

Malah, program sepanjang tahun ini telah membuktikan masa depan ragbi negara berada di landasan tepat dalam memenuhi hasrat melahirkan lebih ramai pemain pelapis berkualiti.

Menurut pengarahnya, Jamaluddin Salim, sejak NRDP diperkenalkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, awal tahun ini, skuad remaja negara mula menunjukkan peningkatan.

Katanya, pasukan B-17 negara berjaya menduduki tempat keempat kelayakan Sukan Olimpik Remaja 2018 Zon Asia di Taiwan, September lalu.

Malah, pencapaian skuad B-16 pula mencatat empat kemenangan daripada enam perlawanan serta muncul naib juara dalam Kejohanan Perth City 7s di Perth, Australia, awal bulan ini.

“Sebanyak 50 kejohanan telah dianjurkan NRDP tahun ini dan jumlah itu akan ditingkatkan selain menambah baik aspek penganjuran di kesemua negeri.

“Perbincangan akan dibuat bersama empat pemegang taruh, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bulan depan, untuk menentukan kalendar 2018,” kata Jamaluddin.

Inisiatif itu disifatkan cukup penting, terutama dalam meneruskan kesinambungan skuad lelaki yang meraih pingat emas manakala pasukan wanita (gangsa) dalam Sukan SEA, Ogos lalu.

Selain memperkenalkan budaya ragbi dalam kalangan pelajar, Jamaluddin menjelaskan NRDP sentiasa membantu persatuan negeri meningkatkan penglibatan di peringkat akar umbi.

“Apa yang dicapai hari ini hanya 50 peratus dan ada beberapa aspek akan diperbaiki. Hasilnya akan dapat dilihat lima tahun lagi,” tambahnya.