Nik Safuan puas hati pencapaian skuad ragbi wanita

Oleh Penulis Jemputan 24 Disember 2019 209
Nik Safuan puas hati pencapaian skuad ragbi wanita
Pencapaian skuad ragbi tujuh sepasukan wanita kebangsaan sepanjang tahun 2019 mampu menjadi penyuntik semangat bagi musim depan walaupun gagal mencapai sasaran dalam Sukan SEA Filipina awal bulan ini. 

Skuad negara tidak menepati ramalan ketika Sukan SEA apabila gagal mara ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man, tetap berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan skuad kendaliannya itu sepanjang tahun ini, malah ketika temasya dwitahunan itu.

"Kalau dilihat daripada segi pencapaian tahun ini, skuad wanita cukup membanggakan. Kami beraksi dalam Siri Asia, menewaskan Singapura serta mempertahankan gangsa dalam Sukan SEA. Bagi saya, ia memberi impak positif kepada perancangan tahun depan," katanya.

Dia juga menambah jika skuad senior mampu menjalin hubungan baik bersama Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP), maka hasilnya akan berlipat ganda pada tahun 2020.

"Saya harap tahun depan setiap pasukan dapat menjalin hubungan baik agar Malaysia dapat melahirkan pemain wanita yang baru."

Bagi edisi Sukan SEA Ke-30, skuad ragbi tujuh sepasukan lelaki meraih pingat perak manakala skuad wanita mempertahankan gangsa yang diraih ketika edisi 2017 di Kuala Lumpur.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen