Pelajaran dan karier seorang atlet perlu seiring menjadi objektif utama yang diperincikan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) selepas Nik Razeen Adam Daud dipilih selaku presiden secara rasmi.

Perkara itu antara intipati utama yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan bagi memberi peluang lebih banyak kepada pemain muda skuasy negara untuk tidak meninggalkan pelajaran walaupun bergelar atlet, di mana tajaan turut disediakan kepada mereka yang terpilih.

Seperti apa yang diterima Ng Eain Yow dan S. Sivasangari apabila menerima tajaan daripada Yayasan CIMB untuk melanjutkan pelajaran, itu yang diharapkan oleh Nik Razeen buat pemain muda lain agar tidak melihat aspek pelajaran sebelah mata sahaja selepas ini.

Tugas yang digalas selaku presiden baru bukan sekadar meneruskan apa yang telah dilakukan oleh bekas presiden, Huang Ying How, tetapi penambahbaikan yang lebih berkualiti.

"Wujud beberapa perbincangan dengan universiti-universiti tempatan untuk mengambil pemain skuasy, malah antara mereka yang telah mengemukakan tawaran biasiswa buat pemain-pemain seperti Universiti Teknologi Mmara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan semestinya Universiti Malaya (UM).

"Jadi, ia adalah sesuatu yang sangat baik untuk pemain-pemain muda," katanya.

Nik Razeen memenangi jawatan presiden tanpa dicabar manakala jawatan timbalan presiden disandang oleh Monteiro Gerard Clair.

L. Subramaniam dan Gabriel Teo Chun pula akan memegang tugas selaku naib presiden tatkala Alvin Chen dipilih sebagai bendahari baru.

"Saya lega kerana yakin dengan pengurusan baru. Mereka adalah kelompok yang dinamik dan berpengalaman luas. Harapan saya ialah agar mereka membawa SRAM ke tahap yang lebih tinggi," ujar Ying How.