Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Adam Daud, antara pegawai sukan negara yang menyuarakan kebimbangan mengenai peralihan Program Podium kepada struktur baru yang akan menjejaskan aspek kepakaran sains sukan.

Adakah pegawai sains sukan Program Podium akan terus kekal atau sempat menurunkan ilmu mereka kepada pegawai tempatan?

Itu persoalan terbesar jika ramai daripada mereka ditamatkan kontrak apabila Program Podium diletakkan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

Pegawai persatuan, jurulatih dan atlet menerima perubahan tetapi apa yang penting ialah peralihan perubahan untuk memburu pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami sudah memiliki kepakaran dalam program tersebut. Jika mereka tidak dikekalkan, program tersebut akan mengalami masalah untuk meneruskannya pada masa akan datang," kata Nik Razeen.

"Sukan tenis sebelum ini berada dalam kategori D tetapi kami perlu membuktikan sesuatu untuk meningkatkan lagi kedudukan kami," kata ketua jurulatih tenis negara, Muliadi Jamal.

Struktur baru Program Podium dibahagikan kepada empat peringkat.

Peringkat pertama tertumpu kepada sukan-sukan yang mempunyai penyertaan dalam Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2020.

Katanya, peringkat kedua akan difokuskan kepada sukan yang memenangi pingat dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia serta sukan dalam Sukan Para Asia 2018 dan akan bertanding dalam temasya pada 2022. Peringkat ketiga kepada sukan yang dipertandingkan dalam Sukan SEA serta Para Asean 2019/2021.

Peringkat keempat akan menempatkan sukan-sukan yang tidak dipertandingkan dalam mana-mana temasya, kelompok sukan itu akan diberi bantuan secara geran dan bergantung kepada prestasi mereka di peringkat antarabangsa.

"Sebagai jurulatih, saya perlu meneruskan tugas untuk menghadirkan pingat untuk Malaysia," kata jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan.

"Kam akan menjalani latihan dan tahun 2019 akan menjadi lebih baik kerana mampu menghadirkan impak yang lebih positif dalam prestasi kami," kata ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.