"Sudah jatuh ditimpa tangga."

Itu peribahasa sesuai untuk menggambarkan nasib pemain bola tampar duduk negara, Nathing Lendeh, yang pendapatannya terkesan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) serta ditambah dengan pembatalan Sukan Para Asean Filipina.

Situasi pemain berusia 42 tahun itu berbeza dengan atlet elit para kebangsaan apabila kontraknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hanya bermusim.

Sebelum ini, Nathing yang bergantung kepada pendapatan harian berkorban mengambil cuti tanpa gaji demi persiapan Sukan Para Asean sejak Disember 2019 sehingga Mac lalu.

Disebabkan penularan wabak Covid-19, dia ditimpa kesukaran berganda untuk meraih sumber pendapatan lebih selepas kontrak ditamatkan ekoran temasya berkenaan tidak dijalankan dan pencarian harian terganggu disebabkan PKP.

"Bagi orang kurang upaya (OKU) seperti kami, memang mengharapkan satu semangat yang berkobar-kobar demi menggalaskan tugas menaikkan nama negara. Apabila MSN panggil untuk latihan, ada pendapatan tetapi jika tidak, kami terpaksa mencari pekerjaan lain. Perlu bekerja untuk menyara kehidupan," katanya.

"Terutama atlet negeri yang telah kami siapkan untuk saingan, kami terpaksa hantar pulang. Ia melibatkan seramai 215 orang atlet dan daripada jumlah itu, 79 atlet negeri yang kembali ke tempat masing-masing apabila saingan dibatalkan," ketua pengarah bahagian paralimpik MSN, Sofian Hamzah.