Nafiizwan, Ivan Yuen tentukan juara skuasy Terbuka Malaysia

Oleh Shaiful Shamsudin 19 November 2016 3
Nafiizwan, Ivan Yuen tentukan juara skuasy Terbuka Malaysia
Pemain skuasy lelaki nombor satu negara, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan, menepati ramalan untuk mengisi slot final Terbuka Malaysia, secara tidak langsung berada di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu. 

Pertembungan dengan juara Remaja Dunia 2016, Ng Eain Yow, menyaksikan Nafiizwan tidak berhadapan kesukaran dalam memastikan kemenangan 11-8, 11-6, 11-9.

Walaupun mengakui aksi permainannya sedikit goyah dalam set ketiga, Nafiizwan tidak mudah akur dengan situasi itu apabila segera bangkit untuk kembali menguasai perlawanan. 

"Saya fokus untuk memberinya tekanan sepanjang pertarungan. 

"Ia sebab utama saya menang selesa," kata atlet Terengganu itu sejurus tamat perlawanan. 

Nafiizwan tidak ketinggalan melontarkan pandangannya terhadap kelibat pemain remaja negara itu yang dilabel memiliki masa depan cerah andai tidak jemu berusaha untuk menjadi yang terbaik. 

"Pemain muda seperti Mohd Syafiq Kamal dan Eain boleh pergi jauh. 

"Mereka perlu meletakkan usaha sebanyak 110 peratus dalam pelbagai aspek."

Seperti dijangka, Nafiizwan bakal bertemu pilihan kedua kejohanan, Ivan Yuen Chee Wern, di pentas final selepas lawannya itu menewaskan Mohd Adden Idrakie Bakhtiar 11-4, 11-4, 11-7. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen