Atlet terjun negara, Leong Mun Yee, sedang dalam fasa kembali ke prestasi terbaik acara 3 meter papan anjal seirama bersama Nur Dhabitah Sabri selepas tidak beraksi bagi acara itu dalam tempoh yang lama.

Siri Dunia FINA di Beijing pada awal bulan ini merupakan penampilan sulungnya bersama Dhabitah apabila meraih kedudukan kelima di pentas final, sekali gus memberikan momentum positif buat atlet berusia 33 tahun itu.

"Bagi saya, 3 meter adalah satu cabaran yang besar kerana sudah lama saya tidak menyertai acara ini. Bagaimanapun, saya akan cuba yang terbaik.

"Untuk acara 10m berpasangan, saya juga akan bergandingan bersama Dabithah. Agak lama saya tidak beraksi bersamanya tetapi tidak mengapa kerana Malaysia memiliki dua gandingan," kata Mun Yee.

Dhabitah, yang sepatutnya bergandingan bersama Wendy Ng Yan Yee bagi acara papan anjal, tidak menolak dirinya terasa dengan ketiadaan rakan sepasukannya itu selepas digantung ekoran kes doping.

Bagaimanapun, dia percaya kemampuan Mun Yee dalam menguasai acara itu dengan lebih baik selepas ini di Gold Coast.

"Sebagai satu pasukan, sememangnya kami perlu menyokong satu sama lain dan kejayaan kami juga dilakukan untuk Yan Yee. Itu fungsi sebuah pasukan," tambah Dhabitah.