Biarpun tewas dalam pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dua tahun lalu, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar sedia mencabar kerusi naib presiden sekali lagi kerana yakin pengalamannya dapat membantu meningkatkan martabat sukan olahraga.

Sebagai bekas atlet dan pentadbir selain penyandang jawatan berkenaan dari tahun 2008 hingga 2014, Mumtaz berasakan banyak perkara mampu dicurahkan beliau bersama KOM.

Beliau yang mendapat pencalonan daripada Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan dan Persatuan Olahraga Melaka, optimis mampu memenangi satu slot yang ditawarkan untuk wanita.

Dalam pemilihan kali ini, beliau akan menentang Rajemah Sheikh Ahmad selepas penyandangnya, Datuk Rosni Sahar, membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan.

"Pengalaman kekalahan saya sebelum ini mampu memberi pandangan yang berbeza kepada persatuan.

"Mereka yang berada di dalam persatuan ini melihat saya membesar dengan sukan. Jadi, mereka tahu pengalaman yang saya miliki," kata bekas pelari pecut itu.

Selain itu, Mumtaz menjelaskan beliau tiada masalah untuk bekerjasama atau menghadapi sebarang konflik dengan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim.

Beliau mengakui Karim umpama seorang sahabat lama kepadanya kerana mereka berdua sudah mengenali begitu mendalam corak kerja masing-masing.

"Saya suka bekerja dengan Datuk Karim sebab dia juga dulu seorang pelari. Kalau ada satu kumpulan yang bagus dalam sukan olahraga, kita boleh mendapatkan pencapaian yang lebih tinggi (pada masa depan)."