Northern Queens, yang diketuai kapten skuad kriket wanita kebangsaan, Winifred Anne Duraisingam, menjuarai edisi pertama Kejohanan Kriket Liga Super Wanita Malaysia (MSWL), selepas menewaskan Eastern Lioness dengan enam wicket dalam perlawanan final penuh dramatik di Kinrara Oval, Puchong hari ini.

Queens melakukan 138 larian (over 4 wicket), manakala Lioness mengumpulkan 135 larian, tewas satu wicket dalam perlawanan menggunakan format T20 (20 overs) itu.

Winifred Anne muncul penyumbang mata tertinggi dengan menyempurnakan 61 larian, diikuti pemain Australia, Adelaide Campion, dengan 42.

Terdahulu, pasukan Central Super Girls menamatkan kejohanan itu di tempat ketiga apabila menewaskan Southern Jaguars dengan tiga larian.

Pasukan itu, yang diketuai bekas pemegang rekod dunia, Mas Elysa Yasmin Zulkifli, melakukan 129 larian (4 wicket) manakala Jaguars, yang diketuai kapten pasukan Singapura, Diviya GK, hanya melakukan 126 larian.

Selain 27 pemain terbaik Malaysia, kejohanan itu turut disertai 26 pemain jemputan termasuk daripada pasukan nombor satu dunia (T20), Australia, dan lima ahli bersekutu Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), iaitu Vanuatu, Thailand, Singapura, Indonesia dan Myanmar.

-- BERNAMA