MSN jawab isu sepak takraw, angkat berat, taekwondo digugur

Oleh Penulis Jemputan 15 Disember 2017 392
MSN jawab isu sepak takraw, angkat berat, taekwondo digugur
Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan pengguguran sepak takraw, angkat berat dan taekwondo daripada senarai 19 sukan teras kebangsaan bermula 2018 bukanlah berasaskan pencapaian prestasi pasukan senior semata-mata. 

Ketiga-tiga sukan itu tersenarai dalam sukan teras sejak 2008 dan telah diberi bantuan sepanjang 10 tahun lalu, termasuk kelebihan sebagai sukan yang wajib dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma).

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menjelaskan prestasi peringkat tertinggi akan menjadi matlamat dalam pembangunan sesebuah sukan itu. 

"Prestasi mereka yang baik di peringkat senior mahupun pembangunan masih tidak meyakinkan berbanding dengan beberapa sukan teras lain yang menunjukkan peningkatan," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. 

Pengguguran sepak takraw, angkat berat dan taekwondo tidak bermakna hubungan mereka dengan MSN terputus sama sekali, sebaliknya berpeluang untuk diserapkan semula, dua tahun akan datang selepas kajian diadakan semula kerana pada akhirnya, tanggungjawab membangun dan memajukan sukan adalah tanggungjawab badan induk sukan berkenaan. 

Shapawi memberi contoh ragbi yang tetap dibantu meskipun bukan daripada sukan teras. Ini kerana, mereka telah menunjukkan kecederungan perubahan yang meyakinkan. 

Dalam masa sama, beliau mendedahkan bola sepak tidak mendapat bantuan penuh kerana mampu berdiri dengan sendiri. Namun, bola sepak mendapat pengiktirafan sebagai sukan teras atas faktor sukan paling popular di dunia selain mampu memberi impak perpaduan nasional.

"Pencapaian skuad B-23 dan B-19 adalah satu perkembangan yang kita tagih berbanding pencapaian mereka dalam tempoh 10 tahun lalu," katanya.

Lembaga Pengurus MSN telah membuat keputusan bahawa sepak takraw, angkat berat dan taekwondo digugurkan daripada senarai sukan yang wajib dipertandingkan dalam Sukma Perak 2018, malah ia telah dibentangkan dan dipersetujui Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia.

Sukan wajib yang dipertandingkan dalam Sukma Perak adalah akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak dan futsal, gimnastik artistik dan gimrama, hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat, skuasy, boling tenpin serta wushu.

Sukan pilihan pula adalah bola baling, bola jaring, bola keranjang, golf, judo, kriket, petanque, ragbi, muay dan tinju.






 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen