Bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, menganggap pembentukan program baru untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berbaki tujuh bulan lagi adalah "tindakan panik" daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Lazimnya, sesuatu program penyediaan ke Olimpik dirangka awal selepas mengambil kira program "Road To Rio 2016" yang dilancarkan pada 2012 sejurus tamat Olimpik London 2012.

Malaysia sudah mempunyai perancangan khusus untuk Tokyo 2020, iaitu Program Podium yang dilancarkan pada 2016, namun beberapa siri kegagalan dalam beberapa temasya sukan menyaksikan ia dirombak.

Kok Chi tidak menganggap pembentukan satu program baru akan membantu menyelesaikan keadaan tatkala Malaysia mengidamkan untuk menamatkan penantian pingat emas pertama Olimpik sejak 1956.

"Saya tidak tahu sama ada program sedia ada dihapuskan atau tidak. Mereka tidak begitu terbuka tetapi situasi ini telah berlarutan selama 20 atau 30 tahun.

"Program yang ada tidak banyak beza. Program Podium tidak menawarkan pembaharuan, hampir sama seperti Jaya 1998 yang telah berjaya tetapi disebabkan menerima kehadiran menteri baru, mereka mahu memperkenalkan program baru.

"Apa bezanya selain dapatkan jurulatih atau menaikkan nilai elaun," katanya.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan Oktober lalu membabitkan RM179 juta membuatkan Kok Chi menyarankan agihan yang lebih diberikan kepada jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, memandangkan atlet kelahiran Terengganu itu sahaja dilihat prospek Malaysia untuk meraih pingat di Tokyo nanti.

"Saya rasa Azizulhasni menduduki ranking tinggi dunia. Dia mengambil bahagian dalam banyak kejohanan, jadi saya fikir ia adil berdasarkan rekod lampau dan ranking terkini," tambahnya.