Tuah hujan yang diharapkan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak kunjung tiba hari ini ketika dia memulakan perlumbaan di petak ke-11.

Kemahuan memburu podium tidak berupaya diterjemahkan kepada penamat lebih memberangsangkan meskipun mencabar kelompok depan.

Hafizh sekadar berpuas hati dengan kedudukan keenam dalam perlumbaan ini yang didominasi oleh penunggang jentera Red Bull KTM.

Gandingan Miguel Oliveira dan Brad Binder memastikan hujung minggu di Sepang milik KTM apabila menamatkan saingan dengan kedudukan 1-2.

Melengkapkan podium adalah juara musim ini, Franco Morbidelli, yang beraksi tanpa tekanan susulan pencabar terdekatnya, Thomas Luthi, dibelenggu kecederaan.

Morbidelli muncul juara keseluruhan dengan pungutan 288 mata berbanding 243 milik Luthi dengan saingan musim ini hanya berbaki satu lagi perlumbaan.

Buat kontinjen Malaysia, tidak ada keterujaan tambahan kecuali tunggangan terpuji daripada Adam Norrodin dalam saingan Moto3 yang bangkit daripada tergelincir pada awal perlumbaan sebelum menamatkan saingan di tempat ke-11.