Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, menegaskan pihaknya tidak berminat membida hak penganjuran Sukan Komanwel 2022 walaupun tarikh bidaan dilanjutkan hingga 30 November depan.

Malaysia tidak akan membida sebarang temasya sukan selagi Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA (MASOC) belum menghantar laporan temasya dwitahunan itu.

Laporan itu penting, terutama untuk mengkaji aspek kewangan penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Jika laporan itu menghasilkan keputusan positif, barulah MOM berani membida sebarang temasya sukan lain.

“Bukan ia bermakna Malaysia tidak berminat tetapi belum tiba masa untuk kami kerana belum menyelesaikan urusan mengenai penganjuran Sukan SEA pada Ogos,” kata Beng Choo.

"Kami tidak boleh terus menjangkau kepada perkara yang seterusnya dan perlu meneliti setiap aspek bagi penganjuran KL2017," jelasnya.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) melanjutkan tempoh bidaan hingga 30 November depan selepas mendapati calon tunggal, Birmingham, England tidak memenuhi kriteria.

Sebelum ini, wakil CGF melawat Kuala Lumpur, Victoria (Kanada) dan Sydney (Australia), namun ketiga-tiga bandaraya itu tidak mengemukakan bidaan rasmi.