Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kini giat meneruskan usaha mengumpul cadangan untuk atlet negara menyambung program latihan.

Langkah itu diambil kem Malaysia walaupun penganjur Sukan Olimpik Tokyo bakal membatalkan temasya itu jika pandemik Covid-19 tetap menular, tahun depan.

Antara fokus utama Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM menerusi persidangan video 12 Mei depan ialah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk atlet kembali berlatih.

MOM akan mendapatkan pandangan pegawai persatuan sukan kebangsaan termasuk di luar program Road To Tokyo untuk dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Atlet harus meneruskan latihan seperti sebelum ini. Ini adalah peluang terbaik memandangkan masih memiliki tempoh setahun lagi untuk melakukan persiapan," kata Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Anti Doping MOM, Datuk Dr. SS Cheema.

Sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sudah menyerahkan cadangan kepada KBS mengenai SOP perlu dipatuhi atlet, jurulatih dan pegawai untuk program latihan dimulakan 1 Jun depan.