Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melantik Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin, sebagai Chef de mission (CDM) Sukan SEA Vietnam, November depan.

Keputusan itu bermakna Hamidin bakal menggalas dua tugas penting apabila turut menang tanpa bertanding Kongres FAM, Sabtu ini.

MOM mengekalkan pendekatan memilih pegawai sukan berbanding bekas atlet untuk mengetuai kontinjen negara ke Sukan SEA.

Dua tahun lalu, MOM memilih Setiausaha Agung Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, sebagai CDM Sukan SEA Filipina.

Apa yang menarik, Hamidin muncul satu-satunya calon untuk mengisi jawatan CDM Sukan SEA Vietnam.

Hamidin akan memulakan tugas pada mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet, 18 dan 19 Mac ini.

Bulan lalu, jawatankuasa pemilihan atlet memutuskan Malaysia akan diwakili gabungan atlet senior dan muda untuk mencabar Sukan SEA Vietnam.

Perlantikan ini bermakna, Hamidin mencipta sejarah muncul presiden FAM pertama menggalas tugas cdm sejak penyertaan pertama Malaysia pada 1959 ketika temasya dikenali sebagai Sukan SEAP.

Hamidin menyahut cabaran tersebut demi memastikan kontinjen Malaysia bangkit daripada pencapaian tangga kelima keseluruhan, dua tahun lalu.

"Ini tanggungjawab, tugas dan amanah yang besar untuk dipikul. Saya berharap semua pihak akan menjalani persiapan rapi bagi memastikan kontinjen Malaysia bersedia menghadapi Sukan SEA hujung tahun ini," kata Hamidin.