"Kami tetap mengutamakan kepentingan atlet negara," kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, yang melihat penundaan dan pembatalan Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan sebagai pendekatan terbaik berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, badan induk itu tidak akan melobi mana-mana negara untuk menyokong cadangan itu.

Situasi penularan wabak berkenaan semakin meruncing dan ia mencetuskan kebimbangan seluruh dunia.

Bagi MOM, keselamatan dan kesihatan atlet negara perlu dijadikan keutamaan dan temasya terbesar itu sepatutnya ditunda.

"Jika terdapat kes di mana kami fikir kami boleh mengemukakan rayuan, kami akan melakukannya.

"Setakat ini, masih tiada lagi.

"Tetapi kami terlebih dahulu perlu mengetahui status Sukan Olimpik kali ini.

"Kami harap setiap atlet dapat berlatih seperti biasa dan tidak membenarkan pandemik global ini menjejaskan mereka.

"Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kami dapat menjadi wakil terbaik buat atlet dan mereka dapat mewakili negara," katanya.

MOM turut mengambil langkah drastik dangan penutupan serta-merta wisma badan induk itu bagi melaksanakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara bermula esok.

"Operasinya boleh diuruskan tetapi kami gusar ia akan menjejaskan prestasi atlet menjelang Sukan Olimpik.

"Ia bukanlah sesuatu yang normal untuk menghadapi pandemik, jadi saya berharap atlet akan kekal kuat dan memberikan komitmen penuh dalam sukan.

"Ia supaya mereka dapat memberikan yang terbaik tidak kira sama ada Sukan Olimpik akan diteruskan ataupun tidak," tambahnya.