Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membidas tindakan Jawatankuasa Teknikal Khas Sukan Malaysia (Sukma) apabila menegaskan sukan angkat berat wajar diberikan pendedahan yang adil dalam temasya di Johor itu tahun depan.

Penganjuran Sukma Johor mencetuskan sensasi apabila jawatankuasa itu bertindak mengurangkan jumlah kategori angkat berat kepada empat acara lelaki dan wanita sahaja berpunca daripada kes doping sukan itu dalam Sukma Perak 2018.

Mendapat bantahan lebih 10 negeri, tindakan tersebut turut mendapat perhatian Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, yang mahu keputusan itu dikaji semula.

"Jika kita ingin melihat atlet-atlet menampilkan kemampuan untuk cemerlang di pentas antarabangsa, kita harus memberikan pendedahan daripada akar umbi," katanya.

Sementara itu, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tetap akan meneruskan rayuan kepada jawatankuasa itu supaya 10 acara lelaki dan 10 acara wanita diadakan semula dalam Sukma Johor.

"Saya telah difahamkan Jawatankuasa Tertinggi Sukma akan bersidang sekali lagi Februari ini dan ia adalah peluang untuk kami membincangkan acara yang bakal dipertandingkan dalam temasya tersebut," kata Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat.

Sementara itu, Norza enggan bertindak terburu-buru dalam menyatakan pendirian MOM sama ada mahu memboikot Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing, China atau sebaliknya.

Ia susulan dakwaan etnik Uighur ditindas di China hingga negara itu berdepan tindakan pembatalan temasya berkenaan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan akan dipindahkan ke negara lain.

"Kami akan mengetepikan hal ini terlebih dahulu. Bagi pihak MOM, kami akan membuat persediaan terlebih dahulu dalam usaha untuk menghantar atlet ke temasya tersebut," katanya.

Terdahulu, Norza menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PABM di Bukit Jalil, Ahad lalu sebagai tanda sokongan terhadap sukan itu yang sering dibelenggu isu doping.

Wartawan kanan Astro Arena, Bazly Azmi, menerima pengiktirafan daripada persatuan itu kerana terbabit dalam bengkel kesedaran doping.

Daripada enam kes doping tahun lalu, angkat berat bebas doping 2019.