Team Sapura Cycling (TSC) bakal menghadapi musim lebih mencabar tahun depan dengan pemburuan slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi keutamaan.

Peluang untuk mendapatkan slot ke temasya Olimpik Tokyo 2020 bagi acara lebuh raya bukan suatu proses yang mudah.

Lantaran itu, TSC perlu bekerjasama dengan dua lagi wakil negara, Terengganu Cycling Team (TSG) serta Forca Amskins Racing (FAR), bagi memburu mata ranking dalam perlumbaan yang disertai sepanjang musim 2019.

Pengurus TSC, Sayuti Zahit, menjelaskan Malaysia perlu berada dalam kedudukan 50 negara terbaik ranking dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk mendapatkan slot kelayakan ke Sukan Olimpik.

Ketika ini, Malaysia berada di tangga ke-55 dengan mengumpul 176 mata.

"Pungutan mata ini untuk ranking di Asia. Dengan menduduki tangga ketiga, maka secara automatiknya TSC akan dijemput menyertai perlumbaan di Asia berdasarkan peraturan UCI," jelas Sayuti.

Sementara itu, TSC melakukan proses pemilihan yang cukup rapi bagi menambah kekuatan pelumba tempatan sebagai sebagai persediaan untuk menghadapi musim baru Jelajah Asia-UCI 2019.

Hanya lima pelumba tempatan dikekalkan daripada skuad sedia ada dengan TSC sedang mengadakan proses pemilihan membabitkan beberapa pelumba muda, khususnya dari Terengganu dan Johor sejak dua bulan lalu.

Turut dalam perhatian, pemenang pingat emas acara lebuh raya Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Saari Amri Abd Rasim.

"Selepas Sukma 2018, kami sedang memilih beberapa pelumba baru yang berusia 18 tahun.

"Dalam kalangan lapan calonnya, kami mungkin akan memilih dua atau tiga pelumba untuk diserapkan.

"Untuk pengetahuan semua, kami sudah mempunyai lima pelumba dan bakal menjadi lapan sekiranya pelumba muda berkenaan diserapkan.

"Selain itu, kami juga akan mendapatkan enam pelumba dari luar," katanya.