Sukan tinju mungkin kurang mendapat tempat di hati rakyat Malaysia namun apabila perkataan tinju disuarakan, nama Sapok Biki pasti antara dikenang.

Sapok antara yang menyuarakan pandangannya mengenai perancangan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) untuk mengambil jurulatih luar negara tetapi, adakah hasil titik peluh ketua jurulatih tinju negara, Azmi Md Yunus, ditolak tepi begitu saja?

"Saya tidak pasti, ia merupakan perancangan persatuan. Jurulatih yang bakal tiba akan melatih atlet di bawah Program Podium jadi perancangan mengenai kedudukan saya masih belum ada kepastian," kata Azmi yang dihubungi Nadi Arena.

Itu luahan Azmi mengenai statusnya terkini apabila badan induk sukan itu ingin mengambil jurulatih daripada luar negara bagi melahirkan Sapok Biki kedua Malaysia.

Namun semua tidak hilang bagi Azmi apabila dikhabarkan oleh PTAM bahawa dia akan beralih menjaga skuad pelapis negara.

Walaupun sedikit terkilan, Azmi mengakui perancangan mengambil jurulatih daripada luar mampu melonjakkan prestasi petinju negara.

Sementara itu, anak didik Azmi, legenda tinju, Sapok juga senada dengan bekas jurulatihnya mengenai khidmat jurulatih luar negara namun menjelaskan Azmi masih mempunyai kepentingan dalam kancah tinju di tahap kebangsaan.

"Latihan jurulatih Azmi tidak boleh dikatakan tidak bagus, tetapi kita memerlukan bimbingan jurulatih yang berpengalaman, yang pernah melahirkan petinju yang bertaraf dunia. Tetapi ia merupakan kelebihan psikologi kepada pesaing ketika menghadapi pertandingan," katanya.