Kuartet 4x100 meter Melaka dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempamerkan dominasi apabila masing-masing mengungguli saingan lelaki dan wanita dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2016 di Stadium Universiti Malaya, hari ini.

Saingan 4x100 meter lelaki menyaksikan Melaka menjadi pilihan meskipun kehadiran kuartet Kuwait dan Brunei Darussalam menghangatkan cabaran.

Melaka membariskan pemegang rekod 100 meter kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Mohamad Haziq Borhan dan Hasnawi Hashim dengan hasrat utama untuk memecahkan rekod kebangsaan 39.67 saat yang dilakukan kuartet negara dalam Sukan SEA Singapura 2015.

Namun, hujan sebelum perlumbaan sedikit menjejaskan tempo larian tetapi ia tidak menggugat kuartet Melaka yang muncul juara dengan catatan 40.57 saat, diikuti Kuwait kedua serta Brunei di tempat ketiga.

"Kali ini, perlumbaan lebih mencabar dengan kehadiran peserta dari Kuwait yang melonjakkan motivasi kami.

"Kebiasaannya kami mampu membuat catatan sekitar 39 saat lebih tetapi hari ini kami menamatkan larian dengan catatan 40 saat," kata Khairul Hafiz.

"Mungkin ada kesilapan kecil yang kami lakukan. Lagipun baru lepas hujan, itu merupakan faktor juga," tambahnya.

Sementara itu, saingan 4x100 meter wanita menyaksikan dominasi kuartet ATM yang muncul juara dengan catatan 45.90 saat.

ATM yang membariskan S. Komalam Shally, Siti Fatimah Mohamad, Zaidatul Husniah Zulkifli serta Nurul Faizah Asma tidak berdepan kesukaran meskipun mereka membuat penukaran giliran larian bagi saingan kali ini.

Mereka dengan mudah mengatasi cabaran kuartet Sabah dan Johor yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

"Berlari dalam keadaan basah bagi kami tiada masalah sebab sama ada hujan atau tidak, kami perlu bersedia.

"Dari segi catatan masa, larian kami agak konsisten memandangkan sudah hampir ke hujung tahun," kata Zaidatul Husniah.