Peninju profesional negara, Meeraj Khan, menawarkan tempat untuk pemenang pingat emas Sukan SEA, Mohd Fuad Redzuan, menyertai pasukannya kerana dia memiliki potensi besar dalam kategori 49kg.

Fuad sudah sedia menyertai arena profesional selepas menamatkan penantian lapan tahun untuk meraih emas kategori 49kg Sukan SEA bulan lalu.

Peninju kelahiran Negeri Sembilan ini cukup berpengalaman dan mampu melangkah jauh dalam kategori berat badan ringan itu.

Realitinya, bintang profesional Filipina, Manny Pacquiao, tidak pernah menang emas Sukan SEA, namun tetap mampu bergelar juara dunia.

"Berlatih dalam kem latihan yang berbeza, Fuad berlatih dengan peninju-peninju yang berpengalaman dan saya melihat dia sudah bersedia untuk beralih ke bidang profesional," kata Meeraj.

Selain Fuad, pemenang pingat perak kategori 81kg, Adli Hafidz Mohd Fauzi, turut berpotensi menyertai arena profesional.

Meeraj dan bekas pemenang emas Sukan SEA 2009, Mohd Farkhan Haron, bergelar peninju profesional sejak beberapa tahun lalu hingga meraih tali pinggang Kejuaraan Asia Pasifik.

Meeraj sudah mengumpul rekod lapan kemenangan dan dua kekalahan dan akan mengharungi pertarungan ke-11 di Singapura, bulan depan.