Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, meminta Pesuruhjaya Sukan memperhalusi cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mewujudkan lima persatuan di bawah naungan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) bagi mengurangkan beban tugas badan induk itu.

ASUM perlu mempertimbangkan cadangan itu secara positif kerana mereka dilihat tidak mampu menguruskan lima sukan sekaligus dengan efisien.

Ia susulan badan induk itu gagal menangani isu penamatan kontrak ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, dengan baik hingga mewujudkan pandangan negatif masyarakat terhadap sukan akuatik kebangsaan.

Justeru, ini masa terbaik mewujudkan persatuan terjun, renang, renang terbuka, polo air dan renang seirama yang bernaung di bawah ASUM.

"Ini adalah masa yang sesuai untuk mewujudkan lima persatuan bagi mengelak masalah yang sama berulang," kata Mazlan.

ASUM satu-satunya persatuan sukan kebangsaan yang mengurus lima jenis sukan berbeza.

Presiden ASUM, Datuk Seri Shahidan Kassim, hanya mempunyai sekitar 10 kakitangan untuk mengurus semua program latihan, kejohanan, program pembangunan dan dana tajaan kelima-lima sukan terbabit.

Selain ASUM, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) juga dilihat berdepan masalah sama.

"Jika memiliki satu persatuan yang berasingan, aspek yang lebih teliti dapat diuruskan dan ia adalah lebih efektif," katanya lagi.