Bekas jurulatih negara, Martin Guntali, menyokong tindakan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang mahu menjalankan siasatan terhadap jurulatih Pahang selepas negeri itu mencatat dua kes doping tahun ini.

Jurulatih adalah antara individu yang rapat dengan atlet. Mereka mungkin mengetahui mengenai pemakanan tambahan yang diambil atlet di bawah jagaan mereka ketika sesi latihan dalam misi untuk meraih kejayaan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Jadi, Martin menganggap PABM bertindak adil jika turut menyiasat jurulatih terbabit.

"Jurulatih harus ditanya sama ada mereka yang memberikan bahan tersebut atau sebaliknya. Selaku jurulatih, kadang-kala kami tidak mengetahui apa yang diambil oleh atlet.

"Kadang-kala atlet mengambil jalan mudah untuk mencapai matlamat mereka sendiri," jelas Martin.

Dua atlet Pahang yang positif doping tahun ini ialah Mohd Nasir Roslan, ketika menjalani latihan di China, dan terbaru pemenang dua pingat emas Sukma Sarawak, Khairul Anwar Mohamad. Kedua-duanya dikesan positif steroid.

PABM sedang menjalankan siasatan kes Khairul, termasuk memanggil dua jurulatih Pahang, sebelum mengenakan hukuman penggantungan.

Sementara itu, bekas atlet angkat berat negara, Firdaus Abd Razak, berkongsi pengalaman mengharungi kesukaran ekoran positif doping.

"Kesannya yang pertama, apabila anda pulang ke kampung halaman, orang kampung bercakap seolah-olah anda merupakan seorang penagih dadah. Maknanya persepsi pertama masyarakat terhadap anda adalah buruk.

"Keduanya, moral akan 100 peratus jatuh dan ketiga, kawan-kawan yang selama ini berada di samping, akan mula menjauhkan diri, "ujar Firdaus.