Marina sedia bantu KBS dalam isu rogol

Oleh Penulis Jemputan 4 Oktober 2017 620
Marina sedia bantu KBS dalam isu rogol
Chef-de-Mission (CDM) negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Datuk Marina Chin, percaya beliau mampu menggalas tugas baru sebagai ketua jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan  (KBS) berhubung kes rogol melibatkan atlet dan jurulatih skuad terjun negara.

Satu unit tindakan khas yang akan diketuai oleh Marina ditubuhkan untuk mengkaji segala isu berkaitan seksual dan psikologi atlet untuk jangka masa panjang dengan lebih terperinci.

Ketika dihubungi, Marina tidak teragak-agak untuk menerima tanggungjawab baru itu kerana mengambil kira kes rogol yang melibatkan atlet terjun sebagai sesuatu yang sangat serius dan tidak boleh diambil mudah bagi memastikan perkara sama tidak berulang di masa akan datang.

“Saya rasa saya cukup berpengalaman dan kalau tidak bersedia, saya tidak akan terima. Buat masa sekarang, kami cuba untuk mengenal pasti bagaimana untuk melindungi atlet-atlet kita,” katanya.

Selaku bekas CDM Sukan SEA, Marina akan memastikan segala isu yang berlaku sewaktu temasya lalu, termasuk kes doping, akan diselesaikan secepat mungkin dan akan berbincang terlebih dahulu dengan pihak KBS mengenai tugas khas yang diterimanya itu.

“Saya perlu bincang dengan KBS terlebih dahulu tentang bidang tugasan itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, enggan mengulas lanjut mengenai isu itu dengan berkata: "Saya sudah mengeluarkan kenyataan bertulis, itu sahaja."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen