Ketua jurulatih memanah recurve wanita negara, Mohd Marbawi Sulaiman, menganggap kematangan yang ditampilkan skuad berpasukan mampu menjelmakan peluang untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemanah muda negara yang dibarisi Nur Afisa Abdul Halil, Nur Aliya Ghapar, Nur Amalia Haneesha Mazlan dan Loke Shin Hui menjadi keutamaan Marbawi untuk dijadikan sandaran dalam Kejohanan Dunia di Belanda pada Jun 2019 yang menjadi kelayakan Olimpik 2020.

Kematangan yang ditampilkan mereka di pentas Sukan Asia 2018 serta kejutan menamatkan kemarau emas 12 tahun Sukan SEA tahun lalu memberi bayangan misi untuk merebut slot Olimpik buat julung kali mampu direalisasikan.

Hanya pendedahan di luar negara yang lebih kerap diharapkan Marbawi buat anak buahnya sebagai persediaan terbaik sebelum menghadapi Kejohanan Dunia.

"Daripada segi persiapan, jika atlet-atlet dapat memberikan komitmen terbaik serta tahap kematangan ketika beraksi, ia secara tidak langsung meningkatkan keinginan mereka untuk memenangi kejohanan yang disertai," kata Marbawi.

Afisa bertekad mahu memastikan impian ke Sukan Olimpik buat kali pertama mampu dilunaskan selepas dia gagal mempamer prestasi terbaik dalam kelayakan ke Rio, dua tahun lalu.

"Selepas meraih pengalaman, ia telah membantu meningkatkan lagi mutu persembahan kami dan jika dapat meneruskannya, kami mampu mencipta kejayaan dan layak ke Tokyo," kata Afisa.