Marang Merlin RC mempamerkan kejaguhan untuk menjuarai Karnival Ragbi 15 Sepasukan Terengganu 2018 selepas mengalahkan Kolej Vokasional Wakaf Tembesu Old Boys (KVWT OB) 18-7 dalam aksi final, petang tadi.

Dua penalti dan satu try memberikan mata kepada Marang Merlin RC manakala KVWT OT melakukan satu try serta satu conversion pada babak pertama untuk menjadikan kedudukan 11-7.

Aksi babak kedua semakin hangat dengan KVWT OV memberikan saingan namun hampa apabila Marang Merlin menambah tujuh mata hasil satu try serta conversion sekaligus menamatkan perlawanan dengan 18-7.

Pasukan bimbingan Syamsuri Abdul Talib itu memenangi trofi berserta medal selaku juara manakala KVWT OB yang dibimbing Izaimi Zainuddin turut membawa pulang trofi dan medal.

"Penubuhan Marang Merlin RC bermula dari suka-suka selain memberi peluang kepada yang tidak terpilih ke pasukan negeri dengan majoritinya berumur 18 ke 33 tahun.

"Beberapa bekas pemain negara serta bekas pemain Piala Agong Terengganu turut bersama Marang Merlin dan kami sering berkumpul di hujung minggu," ujar Syamsuri.

Sebanyak tujuh pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan tiga hari itu antaranya UiTM Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT Stingrays), Kerteh RC, Kemaman RC dan Besut RC.