Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Sadek Mustaffa, berharap peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi Bajet 2017 dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

KBS memohon peruntukan lebih daripada RM500 juta menjelang pembentangan Bajet 2017 esok.

Ia bagi persediaan atlet dan penganjuran Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN tahun depan dengan Malaysia selaku tuan rumah.

Mengakui itu antara perkara yang perlu diutamakan, Sadek turut mencadangkan peruntukan jangka panjang sehingga Sukan Olimpik 2020 diwujudkan bagi memastikan misi merangkul emas tercapai di Tokyo.

"Itu adalah bajet jangka masa pendek sahaja, terutamanya atlet podium yang kita akan lihat dalam Olimpik 2020 di Tokyo," katanya.

"Kita perlu menyediakan belanja besar untuk menjayakan atlet-atlet kita untuk berjaya di Olimpik 2020. Bukan untuk atlet normal sahaja, tapi Sukan Paralimpik itu sendiri, kita sekurang-kurangnya memerlukan RM1 bilion untuk persediaan mereka.

Tambah Sadek, KBS juga harus memberi keistimewaan yang sama daripada peruntukan keseluruhan untuk dinikmati atlet kelainan upaya susulan kejayaan membanggakan dalam Paralimpik Rio baru-baru ini.

"Sejak ada pingat emas Sukan Paralimpik Rio, saya harap kerajaan dapat melihat mereka adalah ikon buat rakyat Malaysia.

"Kelompok mereka ini golongan yang paling istimewa, setara dengan apa yang kita berikan kepada atlet normal.

"Kalau kita boleh bagi RM200 juta untuk atlet normal, atlet Paralimpik sekurang-kurangnya perlu mendapat RM150 juta."