Malaysia mampu muncul juara keseluruhan – Kok Chi

Oleh Ammar Hakim 10 Oktober 2016 2
Malaysia mampu muncul juara keseluruhan – Kok Chi

"Malaysia mampu muncul juara keseluruhan," itu pandangan Timbalan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, bagi mengulas cabaran yang dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk Malaysia menjadi juara Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.

Berdasarkan statistik, kata Kok Chi, Malaysia mampu menjadikan sukan terjun, bowling, kriket, basikal trek, memanah serta skuasy sebagai lubuk emas.

Tambahan pula, ada beberapa jenis sukan yang tidak dipertandingkan ketika Sukan SEA Singapura tahun lalu, kini disenaraikan semula.

Atas dasar itu, Kok Chi amat yakin kontinjen Malaysia mampu mencapai lebih daripada 100 pingat emas.

“Saya sudah menjalankan kajian statistik berdasarkan keputusan Malaysia di Sukan SEA Singapura. Saya bersetuju dan menyokong cabaran yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk Sukan SEA Kuala Lumpur nanti,” jelas Kok Chi.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia menyenaraikan 38 jenis sukan dan 405 acara.

Kok Chi juga menyambut baik kesediaan beberapa atlet berkelas dunia tempatan yang sudi bersaing dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, antaranya pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang.

Dengan kehadiran mereka, ia mampu menarik ramai peminat sukan untuk memenuhi venue pertandingan.

Malaysia muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA 2001 dengan mengutip 111 emas, 75 perak dan 85 gangsa.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen