Barisan wartawan Asia menganggap kos penganjuran boleh dikurangkan jika Malaysia berminat untuk menganjurkan Sukan Asia pada masa depan.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa, berkata Malaysia berupaya menganjurkan temasya sukan itu selepas kejayaan dalam beberapa penganjuran sebelum ini, terutama Sukan Komanwel 1998 dan dua Sukan SEA pada 2001 dan 2017.

"Malaysia sudah mempunyai banyak kemudahan sukan yang bertaraf antarabangsa," katanya.

"Selepas menganjurkan Sukan SEA dua kali, Sukan Asia adalah satu langkah ke depan untuk pentadbir-pentadbir dan atlet-atlet negara supaya mereka dapat mencecah (pencapaian) lebih tinggi.

"Mungkin kos itu, pada Malaysia, tidak setinggi itu. Kalau kita ada, ia untuk dibaik pulih, bukannya untuk pembinaan baru. Daripada segi pengangkutan awam sudah baik," kata Naib Presiden SAM, Izahar Atan.

Sementara itu, menurut wartawan Qatar, Mohammed Abdullah Almarri, negara-negara Asia memerlukan kualiti lebih baik dalam pengurusan temasya sukan.

"Kunci utama adalah Asia perlu pengurusan tahap tinggi untuk penganjuran Sukan Asia.

"Indonesia memerlukan temasya sukan itu. Ia memberi manfaat kepada Jakarta. Dan ia akan membawa semangat rakyat kepada sukan."

Bagi wartawan Singapura, Raj Mohan Viswanathan, dia berkata: "Kemudahan seperti stadium adalah untuk generasi akan datang. Ia bagus dalam aspek itu.

"Dalam perbelanjaan wang, saya katakan USD2.7 bilion tidak banyak. (Tetapi) Saya rasa mereka boleh menguruskannya."

Debaran Sukan Asia edisi ke-18 semakin dirasai apabila ia bakal berlangsung di Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September tahun depan.