Malaysia berdepan risiko hilang 14 pingat emas dalam Sukan SEA Vietnam tahun depan apabila hanya satu daripada 11 rayuan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) diterima.

Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) meluluskan rayuan jujitsu, triathlon, e-sukan dan boling tenpin untuk menjadikan jumlah keseluruhan 40 jenis sukan.

Keputusan SEAGF mengecewakan Malaysia.

Kehilangan lubuk emas seperti skuasy, boling padang, hoki dalam dewan dan bola jaring satu tamparan hebat selepas gabungan empat sukan itu menyumbang lapan emas di Filipina, tahun lalu.

Ia sudah pasti meningkatkan cabaran untuk Malaysia memperbaiki kedudukan kelima keseluruhan di Filipina, antara yang terburuk dalam sejarah.

"Dalam mesyuarat tersebut, sebilangan besar negara tidak berpuas hati dengan keputusan pihak tuan rumah yang tidak kekal dengan keputusan mereka. Pada pendapat saya, Vietnam mengambil langkah konservatif dalam penganjuran saingan kali ini," kata presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Vietnam berdepan masalah dana, venue, kemudahan dan tiada persatuan sukan kebangsaan untuk menganjurkan lebih banyak sukan.

Cuma, majoriti negara Asia Tenggara memohon Vietnam mempertimbangkan hoki dalam dewan dan polo air untuk dipertandingkan.