Malaysia bakal mencatat sejarah menghantar kontinjen terbesar apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merancang untuk menyenaraikan 41 jenis sukan menjelang Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Filipina, Jumaat ini.

Bagaimanapun, Malaysia berdepan tugas sukar untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, akan mengetuai delegasi MOM ke Filipina, esok.

Agenda utama adalah untuk mengetahui keputusan rayuan sukan kriket dan luncur air, dengan Malaysia setakat ini akan menyertai 41 jenis sukan.

Jumlah itu bakal menyaksikan Malaysia menghantar kontinjen lebih besar berbanding temasya di Kuala Lumpur menerusi 38 jenis sukan.

Setakat ini, kontinjen negara hanya menjadi juara keseluruhan ketika bertindak sebagai tuan rumah bagi edisi 2001 dan 2017.

"Kami perlu fokus kepada sukan-sukan yang telah dipersetujui untuk diletakkan rayuan.

"Kami juga mahu melihat sejauh mana persediaan kami, terutama selepas kekangan kewangan yang dihadapi," katanya.

Pencapaian terbaik di luar Kuala Lumpur ialah dengan 68 pingat emas ketika muncul naib juara keseluruhan temasya 2007 di Korat, Thailand.

"Terlalu banyak sukan yang belum pernah dipertandingkan di Malaysia sebelum ini.

"Kebanyakan daripada sukan tersebut tidak melibatkan kontinjen negara.

"Ini kerana peluang mereka untuk meraih pingat adalah tipis," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.