Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) disarankan untuk menyelesaikan kemelut membabitkan Persatuan Karate Pahang (KARAPAH) sebelum melangsungkan Mesyuarat Agung Dwitahunan (BGM), Ahad ini.

Saranan yang diberikan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), Datuk Zaiton Othman, mengenai penggantungan yang dikenakan oleh MAKAF terhadap KARAPAH.

Sebelum ini, KARAPAH menerima surat penggantungan pada Jun 2017, sekaligus tidak dapat menyertai BGM MAKAF yang dijadualkan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Ahad ini.

Jawatankuasa Disiplin MAKAF mendapati KARAPAH tidak melakukan sebarang kesalahan, namun penggantungan itu masih kekal.

Wakil daripada 14 ahli gabungan MAKAF hari ini menghadirkan diri ke pejabat PJS bagi menyatakan pandangan mereka terhadap isu ini.

Mereka diwakili Presiden Persekutuan Karate Goshin-Ryu Malaysia, Datuk Clement Soo di samping Presiden KARAPAH, Kevin Ramesh.

"PJS akan melihat perkara ini secara teliti dan memberikan cadangan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Tetapi MAKAF mahu meneruskan menggantung KARAPAH tetapi jika ia dapat diselesaikan, mereka boleh meneruskan BGM," kata Zaiton.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Clement dan Kevin percaya satu penyelesaian dapat diusahakan selain mengesyorkan penggantungan KARAPAH sebagai tidak sah.

"Kami telah merayu dan berharap isu ini dapat diselesaikan," kata Clement.

"Kami akan mendapatkan keputusan yang positif dan adil daripada KBS dan mengucapkan terima kasih di atas usaha yang diberikan kepada semua pihak bagi membantu menyelesaikan perkara ini," kata Kevin.