Mae Chen: Prestasi Pandelela-Mun Yee masih hambar 

Oleh Staff Writer 2 Mac 2020 113
Mae Chen: Prestasi Pandelela-Mun Yee masih hambar 
Prestasi gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee dalam Siri Terjun Dunia Fina di Kanada, yang berakhir semalam dilabel sebagai "hambar" biarpun mereka merupakan prospek meraih pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo, Julai Depan.

Sentimen itu diluahkan Setiausaha Agung Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, yang percaya kekecewaan itu lebih dirasai memandangkan penerjun terbaik dari China tidak menyertai kejohanan itu berikutan kebimbangan wabak Covid-19.

Dalam acara 10 meter platform seirama wanita di Montreal, pasangan negara itu mendahului kedudukan selepas tiga terjunanan pertama, namun terpaksa akur dengan kehebatan gandingan tuan rumah, Meaghan Benfeito-Caeli McKay, untuk akur sekadar meraih pingat perak.

Pandelela kemudian sekali lagi menjejak podium dalam acara 10 meter platform individu wanita sebagai penerjun ketiga terbaik.

"Dalam Siri Dunia di Kanada baru-baru ini, saya boleh katakan yang mereka sendiri tahu bahawa ia bukan persembahan terbaik mereka.

"Jurulatih juga menyedarinya, jadi saya harap apabila mereka pulang ke sini, mereka akan memperbaiki setiap kelemahan," katanya.

Dalam edisi di Rio pada 2016, Pandelela menghadiahkan pingat perak dalam acara berkenaan menerusi gandingannya bersama Cheong Jun Hoong.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen