Setiausaha kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, menegaskan atlet yang positif dalam ujian doping Sukan Sea 2017 tetap akan disenaraikan ke Sukan Komanwel 2018.

Mae Chen yang ditemui ketika mesyuarat jawatankuasa pemilihan ke Sukan Komanwel 2018 Gold Coast mahu segala urusan melibatkan atlet tersebut dijalankan mengikut undang-undang serta mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Justeru, buat sementara waktu, nama atlet yang enggan didedahkan itu akan berada dalam senarai enam atlet wanita yang akan ke Gold Coast selagi tidak dibuktikan bersalah.

"ASUM diberitahu tentang isu yang melibatkan atlet kami. Kami akan mengesahkan perkara itu tetapi sebarang kenyataan tidak akan dikeluarkan selagi penyiasatan belum selesai. Prosesnya akan mengambil masa," katanya.

Mae Chen turut menjelaskan mereka akan membantu atlet berkenaan untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai isu positif doping.

Baginya, perkara sebegini sememangnya satu perkembangan memeranjatkan selepas pelbagai program saringan yang ketat dilakukan termasuk daripada pihak Institut Sukan Negara (ISN).