Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman, menjadikan acara kriterium antarabangsa Malaysia di Kota Kinabalu sebagai pengubat duka setelah kecewa tidak dapat mendaftarkan diri untuk saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada saat-saat akhir.

Kelibat Zawawi mencuri perhatian ketika majlis pengenalan pasukan semalam memandangkan dia sebelum ini dicanang akan dihantar ke Australia untuk bersaing dalam perlumbaan Sun Tour.

Namun, pelumba berasal dari Perak itu tampil menjelaskan visanya tidak diluluskan oleh pihak kedutaan, menyebabkan dia dan lima lagi pelumba tempatan ditugaskan beraksi dalam acara kriterium hari ini.

Hanya pelumba Turki, Ahmet Orken dikekalkan dan akan menyertai dua pelumba import dari Itali, Pier Paolo Ficara dan Danilo Celano, Serghei Tvetcov, Cristian Raileanu dan Nur Aiman Zhariff yang akan memulakan peringkat pertama LTdL di Kuching, Sarawak esok.

"Saya mengalami masalah mendapatkan visa untuk menghadapi saingan di Australia. Saya akur dan meneruskan saingan kriterium LTdL kali ini," katanya.

Zawawi, yang juga pelumba terbaik tempatan dalam saingan LTdL musim lalu, terpaksa berputih mata tidak dapat menyertai kedua-dua perlumbaan kerana masalah dokumentasi, namun tetap optimis TSC mampu mengutip sebanyak mungkin mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) apabila kini menghuni tangga pertama dengan 308 mata.




Editor: Ammar Hakim