Pakar pecut Kelab Amskins Racing, Anuar Manan, akan membuat penampilan semula dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengumumkan perlumbaan itu berjaya mendapat status siri profesional.

Anuar lebih banyak menyepi sejak pasukannya, Kelab Amskins Racing, hilang status benua ekoran masalah kewangan.

Bekas pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG) itu lebih banyak menyertai perlumbaan bertaraf 2.1 yang jarang membabitkan pasukan ternama.

Namun, Anuar yang mencatat sejarah selaku pelumba pertama negara menjuarai peringkat perlumbaan LTdL 2010, bakal membuat penampilan semula dalam saingan siri profesional tahun depan.

"Jika kami mendapatkan penajaan, saya akan kembali memanggil rakan sepasukan yang lain untuk bersaing dalam LTdL musim depan," kata Anuar.

"Saingan perlumbaan ini memberikan peluang untuk pihak penaja mempromosikan syarikat mereka. Kembali dalam status profesional membuka peluang untuk kami mendapatkan penajaan."