Kejutan berlaku dalam senarai enam pelumba yang terpilih mewakili skuad berbasikal kebangsaan dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) bermula Khamis ini.

Pelumba veteran, Anuar Manan, terpiilih sebagai pakar pecut pasukan Malaysia biarpun sudah menyepi selama setahun.

Pemilihan Anuar, 34, diumumkan bersama tiga lagi pelumba, iaitu Ameer Ahmad Kamal, Daniel Haikal Edy Suhaidee dan Izzat Hilmi Abdul Halil.

Mereka akan melengkapkan senarai enam pelumba selepas ketua jurulatih, Yusof Abd Nasir, mengumumkan bahawa Nik Mohd Azwan Zulkiflie dan Sofian Nabil Omar terpilih lebih awal semalam.

"Anuar dipilih berdasarkan kepakarannya dalam memecut pada penghujung perlumbaan," kata Yusof.

"Pasukan Malaysia memerlukan dua pakar pecut.

"Sebelum ini, saya mengumumkan hanya seorang pakar pecut akan terpilih tetapi selepas melihat laluan perlumbaan, terdapat lima atau enam laluan yang memerlukan pakar pecut di penghujung perlumbaan.

"Anuar memiliki pengalaman yang amat luas dalam LTdL, jadi saya harap dia akan menggunakan pengalamannya untuk menduduki podium atau kelompok 10 terbaik," katanya.

Berdasarkan kombinasi sedia ada, Malaysia memasang hajat untuk menyamai pencapaian selaku pasukan kedua terbaik Asia dalam edisi lalu.

Buat Anuar pula, ia merupakan peluang keemasannya untuk kembali meletakkan diri sebaris dengan pelumba elit lain.

Tahun lalu, pasukan yang diwakilinya, Forca Amskin Racing, tidak dapat mengambil bahagian kerana masalah kewangan.

"Saya mula berlumba dalam LTdL sejak 2007.

"Saya hanya terlepas perlumbaan tahun lalu dan saya akan kembali menyertainya tahun ini.

"Bagi saya, pasukan Malaysia memiliki kelebihan tersendiri tahun ini.

"Saya akan mencuba untuk sekali lagi memenangi peringkat perlumbaan.

"Saya memang pakar pecut, jadi saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan Malaysia," katanya.



Editor: Muzaffar Musa