LTdL 2021: TSC optimis pertahan reputasi

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Julai 2020 27
LTdL 2021: TSC optimis pertahan reputasi
Team Sapura Cycling (TSC) menyahut cabaran mempertahankan gelaran juara keseluruhan dan jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) walaupun penganjur, Human Voyage, mampu membawa lebih banyak pasukan yang bertaraf jelajah dunia untuk saingan musim depan. 

Keyakinan itu dikongsikan pengurus Team Sapura, Sayuti Zahid, kepada wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah. 

Dia turut mengakui cabaran sengit buat anak buahnya tahun depan tetapi optimis gelaran itu mampu dicapai kerana sudah menggariskan persiapan padat menjelang LTdL 2021. 

Ia termasuk jika penganjuran musim depan melibatkan lebih banyak pasukan jelajah dunia. 

Mengikut kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), pasukannya akan menyertai dua perlumbaan jelajah di New Zealand dan Australia pada Januari. 

"Tarikh penganjuran itu adalah sesuai kerana ia boleh menarik pelumba yang terlibat dalam siri perlumbaan di Australia untuk menyertai LTdL, seminggu selepas itu.

"Jadi dua kejohanan boleh menjadi persiapan yang baik untuk kami menghadapi medan LTdL ,"  katanya. 

Dalam pada itu, Sayuti menejelaskan wang hadiah kemenangan LTdL musim lalu akan diselesaikan dengan kadar segera oleh pihak UCI. 

"Penganjur sudah menyerahkan duit kemenangan itu kepada UCI sebelum diberikan kepada pasukan. 

"Saya difahamkan ini berlaku kerana ada sebahagian pasukan yang belum melengkapkan borang yang dikehendaki UCI,"  katanya. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen