Pemain golf dari China, Shanshan Feng , menganggap Lapangan Golf TPC Kuala Lumpur sentiasa memberikan tuah kepadanya, lantas enggan terlepas peluang untuk merangkul gelaran juara buat kali ketiga dalam saingan LPGA Sime Darby 2017 yang bermula Jumaat ini.

Kali pertama Shanshan merangkul kejuaraan adalah pada 2014 sebelum Jessica Korda dari Amerika Syarikat (AS) merampas takhta itu pada 2015.

Begitupun, pemain berusia 28 tahun itu berjaya mengungguli kembali kejohanan itu tahun lalu dan semestinya mahu menikmati gelaran juara buat kali ketiga dalam edisi ini.

Lapangan golf TPC Kuala Lumpur tidak pernah mengecewakannya dan menyifatkan ia salah satu faktor kepada aksi konsisten yang berjaya ditampilkannya.

"Saya cuba bertenang dalam setiap saingan dan ia membantu saya untuk memberikan yang terbaik.

"Peserta-peserta yang beraksi dalam saingan kali ini merupakan antara rakan-rakan yang pernah saya temui dan saya berasa sangat gembira untuk menghadapi kejohanan kali ini," katanya.

Turut menjadi perhatian adalah pemain nombor satu dunia, Ryu So-yeon, yang menganggap bukan mudah memegang gelaran tersebut apabila ramai yang meletakkan sasaran tinggi ke atasnya tahun ini.

"Saya sangat gembira bergelar pemain nombor satu dunia. Kali ini, saya akan berusaha untuk mengekalkan prestasi dan cuba menampilkan aksi terbaik," kata So-yeon.