Pemain golf tanah air, Natasha Andrea Oon, bakal bersaing dengan pemain elit dunia untuk menggegarkan Sime Darby LPGA Malaysia di TPC Kuala Lumpur, dari 26 hingga 29 Oktober ini.

Dia mula mencipta nama ketika berusia 12 tahun, jadi bukanlah satu kejutan buat peminat golf negara yang mengikuti perkembangan sukan ini.

Kejayaan Natasha mendominasi kelayakan pada bulan lalu akan memberikan peluang untuknya mempamerkan bakat dengan lebih meluas.

"Pengalaman ini adalah sesuatu yang berharga buat saya kerana beraksi bersama barisan pemain yang jauh lebih hebat.

"Ia mendorong saya untuk terus berusaha menjadi pemain yang lebih bagus," kata pemain berusia 16 tahun dari Kuala Lumpur itu.

Lapangan beprestij TPC Kuala Lumpur kekal menjadi medan bagi Malaysia menikmati aksi golf berkualiti.

Bagi natasha sendiri, lapangan ini juga adalah penentu sama ada dia menyinar atau tenggelam di sebalik perhatian pelbagai pihak dan pemain lebih berpengalaman.

"Semua orang adalah sama kerana setiap kali turun beraksi, penentu buat saya adalah diri sendiri dan juga lapangan. Jadi, lapanganlah yang menjadi musuh saya yang sebenar."