Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, enggan berasa terkilan kerana tidak dapat bersama-sama Nauraj Singh untuk berlatih di Australia, sebaliknya hanya fokus kepada latihan sendiri di Majlis Sukan Negara (MSN).

Hup Wei kini hanya menjalani latihan sepenuh masa di MSN meskipun tiada sebarang kejohanan yang disertai sehingga penghujung tahun ini.

Walaupun tidak dapat mengikuti Nauraj ke Australia, dia yang masih lagi berada di bawah bimbingan jurulatih, Alex Stewart, tetap mengharapkan program lebih baik daripada MSN pada tahun hadapan.

Ini kerana Hup Wei enggan persediaan ke Sukan Komanwel buat kali kedua selepas New Delhi 2010 sekadar 'suam-suam kuku' apatah lagi cabarannya lebih sukar berbanding Sukan Asia.

"Saya perlu meneruskan latihan dan mengekalkan persembahan untuk menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Saya perlu mempersiapkan diri dua, tiga tahun lebih awal untuk kejohanan itu," katanya.

Sasaran dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, dari 5 hingga 15 April tahun depan, sukar dijangka tetapi dia berharap dapat memperbaharui rekod peribadi terbaiknya, iaitu 2.27 meter.

"Sukan Komanwel ini agak sukar dan kalau boleh saya mahu menduduki kelompok lima atau enam terbaik.

"Banyak negara-negara besar terlibat, jadi saya perlu berlatih dengan lebih baik," kata pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu.