Larian Pantai Tanjung Aru Terakhir bakal berlangsung di Padang Ragbi, Tanjung Aru pada 13 Januari, tahun depan.

Mereka yang berminat menyertai larian yang dianjurkan Kelab Berbasikal SPED KK masih boleh berbuat demikian selepas tempoh pendaftarannya dilanjutkan sehingga 28 Disember depan.

Pengarah Casero Events selaku koordinator perlumbaan, Steve Johnny Mositun, berkata dua kategori akan dipertandingkan pada acara itu, iaitu 10 kilometer (km) serta 3km.

"Mereka yang berminat menyertai kategori 10km hanya dikenakan yuran RM80 manakala bagi kategori 'family run' iaitu sejauh 3km, setiap pasangan iaitu dewasa dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah hanya perlu membayar yuran RM100.

"Bagi kategori 10km, setiap pelari akan menerima baju T, medal tamat larian serta sijil manakala bagi kategori 3km, kedua-dua pelari hanya akan menerima baju T kejohanan, dan selain iaitu, setiap 10 pelari terbaik akan turut menerima hadiah wang tunai," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, presiden Kelab Berbasikal SPED KK turut berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, khususnya Mayor, Datuk Yeo Boon Hai kerana memberi sokongan penuh kepada penganjuran larian berkenaan.

"Objektif larian ini ialah bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada organisasi yang memerlukan selain mempromosikan gaya hidup sihat.

"Ianya juga bagi mempromosikan pantai Tanjung Aru yang sememangnya terkenal dengan keindahannya, terutama pemandangan matahari terbenam," katanya.

Tambah beliau, semua peserta yang menyertai larian itu bakal berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik menerusi cabutan tiket bertuah.

Mereka ingin mendapatkan info lanjut berhubung larian itu boleh menghubungi Helena di nombor 0178017075 dan Jannette (012 835 6083), Raimin (010
502 5188) atau mengunjungi laman facebook.com/caseroevents.